Memahami Hadith Bercanggah
Hadis A:
Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:
Janganlah seseorang dari kamu minum sambil berdiri. Jika sesiapa terlupa, maka hendaklah dia memuntahkannya.[107]
Hadis B:
Berkata al-Nazzal rahimahullah, ‘Ali radiallahu ‘anhu datang ke pintu kawasan lapang (di perkarangan masjid Kufah [108] ) dengan (segelas) air lalu diminum sambil berdiri. Kemudian ‘Ali berkata
Sesungguhnya manusia, sebahagian daripada mereka tidak menyukai minum sambil berdiri, Demi sesungguhnya, aku melihat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berbuat seperti apa yang kamu lihat aku buat.[109]
Hadis C:
Berkata ‘Abd Allah ibn Abbas radiallahu ‘anhu:
Aku menghidang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam air zam-zam, lalu baginda meminumnya sambil berdiri.[110]
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam Hadis A jelas melarang seseorang untuk minum sambil berdiri tetapi dalam hadis B dan C, diterangkan pula bahawa baginda sendiri yang minum secara berdiri. Di sini jelas wujud percanggahan.
Akan tetapi jika dikaji semula, akan didapati bahawa Hadis A adalah hadis perintah yang berasal daripada Rasulullah (sunnah Qauliyah) manakala Hadis B dan C adalah hadis pengkhabaran tentang perbuatan Rasulullah (sunnah Fi‘illiyah).
Apabila bertembungnya antara hadis sunnah Qauliyah dan hadis sunnah Fi‘illiyah, maka yang menjadi dasar hukum ialah hadis sunnah Qauliyah, manakala hadis sunnah Fi‘illiyah berperanan menafsirkan maksud sebenar yang terkandung dalam hadis sunnah Qauliyah tersebut.
Kembali kepada contoh percanggahan di atas, Hadis B dan C berperanan menafsirkan maksud sebenar larangan Hadis A, bererti bahawa larangan Hadis A bukanlah bermaksud haram, tetapi hanyalah makruh. Justeru apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melarang sesorang minum secara berdiri, ia adalah merupakan satu tegahan dan bukannya satu pengharaman [111]. Namun diingatkan kembali bahawa yang menjadi dasar hukum ialah Hadis A, maka hendaklah seseorang itu tetap berusaha untuk menjauhi minum secara berdiri, kecuali apabila uzur, lupa atau apabila suasana tidak mengizinkan
===========================
[107] Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 2026 (Kitab Minuman, Bab tidak disukai minum secara berdiri). Hadis tegahan minum secara berdiri juga diriwayatkan dari Anas bin Malik dan Abu Sa‘id al-Khudri radiallahu ‘anhuma.
[108] Sebagaimana riwayat no: 5616 dalam Sahih al-Bukhari.
[109] Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Ahmad dan al-Bukhari, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5615. (Kitab Minuman, Bab minum sambil berdiri).
[110] Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2027 (Kitab Minuman, Bab minum air zam-zam sambil berdiri).
[111] Lihat al-Nawawi – Syarh Sahih Muslim, jld 7, ms 112 dan seterusnya, Ibn al-Qayyim – Zaad al-Ma‘ad , jld 1, ms 109-110 dan Fath al-Bari, jld 11, ms 211.
oleh; Hafiz Firdaus Abdullah
No comments:
Post a Comment